Persiapan banjir diperkasa, belajar daripada pengalaman lepas
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 1 Jan: Fenomena banjir besar yang melanda tahun lalu menjadi pengajaran kepada Kerajaan Sarawak untuk memperkasa persiapan menghadapi banjir pada tahun ini termasuk melibatkan kebajikan mangsa dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) mengarahkan semua pihak berkuasa di peringkat bahagian diketuai residen dan pegawai daerah untuk berada dalam keadaan bersedia sejak Disember lalu.
“Pada masa ini, kami mengingatkan semula kepada semua pihak berkuasa untuk menyemak kedudukan mereka terutamanya berkaitan kesediaan PPS. Pastikan PPS bersih dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas dan kemudahan lain.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga bersiap sedia dengan bekalan makanan dan peralatan asas. Bekalan utama ditempatkan di Kota Samarahan dan beberapa pangkalan strategik lain manakala pembekal tempatan dilantik di beberapa bandar untuk membekalkan barangan yang diperlukan bagi memastikan mangsa dipindahkan ke PPS dapat tinggal dengan selesa,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri diarahkan untuk membuat pemeriksaan di setiap PPS selepas mangsa tiba termasuk memeriksa keadaan kesihatan seperti demam bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan dan kesihatan dipatuhi.
Dalam pada itu, Uggah menambah, setakat ini lima PPS dibuka di sekitar Kuching melibatkan Dewan Masyarakat Stapok, Dewan Sinar Budi Paru, Surau Ar- Rahman Kampung Sungai Batu, Surau Nurul Najin Kampung Darul Stapok dan Dewan Taman Malihah.-TVS
