410 mangsa banjir di Pahang masih berada di 5 PPS
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN: Seramai 410 mangsa daripada 123 keluarga di Pahang masih berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat jam 12.30 tengah hari ini.
Info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 8 pagi tadi, seramai 580 orang daripada 167 keluarga di lima daerah.
Daripada jumlah itu, Kuantan masih merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 259 orang daripada 75 keluarga, diikuti Pekan membabitkan 116 orang daripada 42 keluarga dan Maran dengan merekodkan 35 orang daripada enam keluarga.
Menerusi Info Banjir Pahang, Sistem Pengoperasian Hidrologi Telemetri Negeri, tiga sungai masih melepasi paras bahaya setakat jam 1 tengah hari ini.
Sungai terbabit ialah Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.
Selain itu, Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran melepasi paras amaran manakala lima sungai di beberapa daerah melepasi paras waspada.
