PPS terakhir tutup, banjir di Kemaman pulih sepenuhnya
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU: Banjir di Kemaman pulih sepenuhnya selepas satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok yang menempatkan 571 mangsa daripada 155 keluarga ditutup jam 6 petang tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN), semua mangsa dibenarkan pulang selepas banjir yang melanda beberapa kampung antaranya Tanjung dan Pengkalan Pandan surut petang tadi.
Banjir gelombang kedua melanda negeri menyaksikan tiga daerah terjejas iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dengan jumlah mangsa tertinggi direkodkan 1,391 mangsa membabitkan 369 keluarga dengan
Sebanyak 18 PPS diaktifkan membabitkan tiga daerah terbabit dengan PPS Kampung Lubok Periok dan Masjid Kampung Peneh di Hulu Terengganu terawal dibuka selepas dua kampung berkenaan terjejas banjir pada Ahad lalu.
Selain hujan lebat, gelombang kedua banjir juga dikatakan berpunca limpahan air sungai akibat fenomena air pasang besar khususnya di kawasan berhampiran sungai.
JPBN menasihatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan berdekatan sungai sentiasa berjaga-jaga berikutan masih dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
