LSS akan tingkatkan pemantauan keselamatan sungai semasa musim tengkujuh – Dr Safiee
- Admin UKK
- Berita
SIBU, 9 Dis: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) terus memperhebatkan pemantauan untuk memastikan keselamatan penduduk dan komuniti maritim sepanjang musim tengkujuh.
Pengerusi LSS, Dr Safiee Ahmad, berkata peningkatan paras air serta arus deras pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini boleh menjejaskan keselamatan, terutamanya jika pengguna lalai.
Jelas beliau lagi, keadaan akan bertambah buruk akibat sisa buangan termasuk kayu hanyut yang menghalang aliran sungai.
“Pengendali dan pengguna bot diingatkan agar sentiasa berwaspada, terutamanya ketika hujan lebat atau pada waktu malam, dan penduduk di kawasan tebingan sungai diminta untuk sentiasa berhati-hati,” katanya.
Mengulas lanjut Dr. Safiee berkata, LSS telah mengeluarkan peringatan awal kepada penduduk di kawasan berisiko banjir dan menjalankan pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang perkembangan lebih awal.
Kerjasama dengan jawatankuasa bencana di peringkat daerah, bahagian dan negeri turut dipertingkat bagi memastikan maklumat penting disalurkan dengan cepat dan tepat.-TVS
