Penduduk diminta berwaspada paras air sungai
- Admin UKK
- Berita
DARO, 7 Dis : Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) mengeluarkan peringatan awal agar penduduk di kawasan berhampiran sungai berwaspa susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusinya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pemantauan rapi sedang dijalankan bagi memastikan maklumat berkaitan paras air sungai dan situasi cuaca dapat disampaikan dengan cepat kepada penduduk di kawasan berisiko.
Menurutnya, MTL yang sedang melanda negara ketika ini dijangka membawa hujan lebat berterusan sehingga Mac depan, seterusnya meningkatkan potensi kejadian banjir di beberapa lokasi.
“Penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan sungai perlu sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan memerhatikan paras air sungai dari semasa ke semasa.
“Kepekaan terhadap perubahan cuaca amat penting kerana ia dapat membantu penduduk membuat tindakan awal sekiranya berlaku peningkatan paras air,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) Bahagian Mukah 2025 di Dewan Kampung Pangtray, hari ini.
Safiee berkata, LSS bersama jawatankuasa bencana di peringkat daerah, bahagian dan negeri sentiasa berkoordinasi dalam menyalurkan maklumat penting berkaitan risiko banjir.
Katanya, usaha pelbagai agensi yang digerakkan lebih awal mampu mengurangkan impak negatif terutama melalui hebahan maklumat kepada penduduk di kawasan sering terjejas.
“Semua langkah ini bertujuan memastikan tindakan segera dapat diambil jika berlaku musibah banjir. “Dengan aset-aset yang ada, kita bersedia membantu pada bila-bila masa diperlukan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan bersama.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan setiap usaha penyaluran maklumat dan operasi penyelamatan berjalan lancar,” jelasnya.-TVS
