Selepas banjir, Sri Lanka keluar amaran tanah runtuh
- Admin UKK
- Berita
COLOMBO: Pihak berkuasa Sri Lanka mengeluarkan amaran tanah runtuh baharu semalam ketika hujan lebat terus melanda kawasan yang sudah terjejas teruk akibat taufan kuat, sementara angka korban meningkat kepada 618 orang.
Lebih dua juta penduduk iaitu hampir 10 peratus daripada populasi negara itu terjejas akibat banjir dan tanah runtuh yang berlaku minggu lalu susulan Taufan Ditwah, yang dianggap paling buruk melanda pulau itu pada abad ini.
Pusat Pengurusan Bencana (DMC) memaklumkan ribut monsun menambah hujan dan menjadikan cerun bukit tidak stabil, termasuk di kawasan pergunungan tengah dan tanah tinggi barat laut.
Helikopter dan pesawat digunakan untuk menghantar bantuan kepada komuniti yang terputus hubungan akibat tanah runtuh di bahagian tengah negara.
Tentera Udara Sri Lanka memaklumkan mereka menerima bekalan bantuan udara dari Myanmar semalam, sebagai sebahagian daripada bantuan antarabangsa terkini.
Kerajaan mengesahkan 618 kematian, termasuk 464 di kawasan pengeluar teh yang subur di tengah negara, manakala 209 orang masih hilang.
Lebih 75,000 rumah dilaporkan rosak, termasuk hampir 5,000 yang musnah sepenuhnya. Jumlah penduduk di kem pelarian yang dikendalikan kerajaan menurun kepada 100,000 orang daripada 225,000 ketika air banjir surut.
Kerajaan pada Jumaat melancarkan pakej pampasan besar-besaran bagi membina semula rumah dan memulihkan perniagaan yang terjejas, dengan kos pemulihan dianggarkan sehingga AS$7 bilion.
Mangsa ditawarkan sehingga 10 juta rupee untuk membeli tanah selamat dan membina rumah baharu, manakala pampasan AS$3,300 diberikan bagi setiap kematian atau kecacatan kekal.
