PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Jangan masuk Hatyai sampai tahun depan

Jangan masuk Hatyai sampai tahun depan

PADANG BESAR – Industri pelancongan Thailand dijangka pulih sepenuhnya pada hujung Januari tahun depan selepas sebahagian besar bandar itu ditenggelami banjir besar baru-baru ini.

Presiden Persatuan Pelanco­ngan dan Perdagangan Halal Thailand-ASEAN, Aida Oujeh berkata, pendapatan industri pelancongan di bandar terbesar di selatan Thailand itu juga diunjur mengalami kemerosotan antara 30 hingga 40 juta Thai Baht (THB) (RM3.9 juta – RM5.2 juta) bulan ini.

Janaan pendapatan daripada kehadiran pelancong dijangka merudum kerana kebanyakan infrastruktur pelancongan me­ngalami kerosakan dan mengambil masa untuk dibaik pulih.

“Buat masa ini, kerajaan Thailand bertungkus lumus membersihkan timbunan sampah akibat kerosakan banjir besar. Terdapat puluhan ‘bukit’ sisa banjir di sekitar Hatyai,” katanya di sini semalam.

Hatyai merupakan destinasi popular rakyat Malaysia yang berkunjung ke selatan negara Gajah Putih itu saban tahun, terutama ketika cuti hujung tahun dan sambutan tahun baharu.

Terdapat sesetengah lokasi di Hatyai ditenggelami air sehingga 15 meter dan menyebabkan kerosakan teruk kepada hotel yang menjadi penginapan pelancong.

Menurut Aida, selain pembersihan, kerajaan Thailand pada masa sama sedang menjalankan operasi kawalan kesihatan persekitaran bagi membendung penyakit pasca banjir.

“Kaedah itu kawalan itu antara lain adalah usaha awal kerajaan Thailand walaupun tidak lagi kedengaran wabak akibat bawaan bencana banjir kali ini.

“Mengenai jumlah sebenar kerugian harta benda terutama­nya kemudahan pelancongan, ia masih lagi dalam penilaian. Namun dianggarkan sekurang-kurangnya mencecah 100 juta THB (RM12.9 juta) nilai kerosakan akibat banjir pada kali ini,” ujarnya.

Katanya, banjir besar biasanya melanda Hatyai 10 tahun sekali. Ujarnya, bandar Hatyai kali ini betul-betul ‘dicuci’ bersih dan mungkin ada hikmah di sebalik bencana yang berlaku.

Tambah Aida, beliau berharap industri pelancongan Thailand dan Malaysia khususnya di kawasan terjejas banjir kembali pulih secepat mungkin dan pe­ngusaha pelancongan perlu tabah menghadapi ujian ini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search