PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Cuaca negara dijangka kekal baik, episod hujan lebat MTL boleh berlaku bila-bila masa - METMalaysia

Cuaca negara dijangka kekal baik, episod hujan lebat MTL boleh berlaku bila-bila masa - METMalaysia

KUALA LUMPUR: Cuaca negara dijangka kekal baik untuk tempoh beberapa hari lagi, namun episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa bergantung kepada luruan monsun dan kemasukan udara lembap.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata tiada sela masa khusus antara satu episod hujan lebat dengan episod berikutnya, namun amaran akan dikeluarkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal jika terdapat tanda-tanda cuaca buruk.

"Selain itu, kekuatan episod seterusnya turut bergantung kepada keadaan atmosfera semasa, termasuk kewujudan kawasan tekanan rendah serta pola angin dan kelembapan.

"Kami (METMalaysia) menggunakan model ramalan cuaca berangka (NWP) untuk mengesan perubahan awal sebelum diterjemahkan kepada ramalan oleh pakar," katanya kepada media.

Dr Mohd Hisham berkata, perkembangan itu berlaku ketika Malaysia berdepan pelbagai bentuk ribut yang boleh berlaku sepanjang tahun, khususnya ketika peralihan monsun.

 

Katanya, ribut petir kekal kejadian paling lazim di Malaysia dan sering berlaku pada waktu petang hingga awal malam.

"Pembentukan awan kumulonimbus berskala besar pula boleh mencetuskan fenomena lebih ekstrem termasuk puting beliung dan hujan batu.

"Fenomena garis badai juga semakin ketara, iaitu sistem ribut petir memanjang sehingga ratusan kilometer yang terbentuk di laut sebelum bergerak ke daratan, terutama di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah pada awal pagi," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, negara turut berisiko mengalami ribut tropika yang terbentuk berhampiran perairan Malaysia seperti Ribut Tropika Senyar yang membadai Selangor dan Negeri Sembilan pada 28 November lalu.

"Bagaimanapun, Malaysia masih dianggap selamat daripada laluan taufan besar kerana kedudukan hampir garisan khatulistiwa menyebabkan daya Coriolis lemah dan menyukarkan ribut tropika untuk membesar menjadi taufan.

"Lazimnya, ribut tropika dari barat Lautan Pasifik melintasi Filipina ke Laut China Selatan dan berakhir di Vietnam, namun laluan terus ke Malaysia jarang berlaku.

"METMalaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca secara berterusan dan amaran hujan lebat berterusan akan dikeluarkan apabila ada tanda-tanda cuaca buruk akan berlaku," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search