PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Monsun Timur Laut dijangka bermula Khamis ini

Monsun Timur Laut dijangka bermula Khamis ini

KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dijangka bermula Khamis ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata dalam tempoh MTL itu, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

"Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.

"Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hisham berkata, orang ramai dinasihatkan untuk bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat MTL dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia.

 

Hari ini METMalaysia mengeluarkan nasihat berkaitan Taufan Fung-Wong yang dikesan berada kira-kira 129 kilometer (km) ke barat daya Vigan City, Filipina, awal pagi tadi.

Dalam kenyataan pagi tadi, METMalaysia memaklumkan taufan itu bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j), dengan kelajuan angin maksimum direkodkan pada 120 km/j.

"Taufan Fung-Wong kini berada pada kedudukan latitud 17.4 darjah utara dan longitud 119.2 darjah timur, kira-kira 1,196 km ke timur laut Kudat, Sabah," menurut kenyataan itu.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan.

Selain itu, METMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Johor sehingga 12 tengah hari tadi.

Antara kawasan terbabit di Kedah ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu; manakala di Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.

Di Selangor, cuaca buruk dijangka berlaku di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang; di Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu dan Seremban; manakala di Johor membabitkan Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search