Lagi gempa bumi kuat gegar Afghanistan, 10 maut 150 cedera
- Admin UKK
- Berita
KABUL: Gempa bumi kuat dengan 6.3 magnitud melanda berhampiran bandar Mazar-e Sharif di utara Afghanistan pada awal pagi tadi, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan kira-kira 150 mangsa, lapor pihak berkuasa wilayah hari ini.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gegaran itu berlaku pada kedalaman 28 kilometer (17.4 batu) berhampiran Mazar-e Sharif, sebuah bandar yang menempatkan kira-kira 523,000 penduduk.
"Setakat ini, dilaporkan tujuh maut dan 150 cedera dan dipindahkan ke pusat kesihatan," kata Samim Joyanda, jurucakap jabatan kesihatan di Samangan, sebuah wilayah pergunungan utara yang berhampiran Mazar-e Sharif, kepada agensi berita REUTERS.
Beliau berkata, angka korban dan cedera itu adalah berdasarkan laporan hospital yang dikumpulkan setakat ini.
Di Mazar-i-Sharif, ramai orang berlari ke jalanan pada tengah malam, kerana bimbang rumah mereka mungkin runtuh.
Pihak berkuasa Taliban terpaksa berdepan dengan beberapa gempa bumi besar sejak kembali berkuasa pada 2021, termasuk satu pada 2023 di wilayah barat Herat di sempadan dengan Iran yang mengorbankan lebih 1,500 orang dan memusnahkan lebih 63,000 rumah.
Gempa bumi magnitud 6.0 melanda pada 31 Ogos lalu di timur negara itu, mengorbankan lebih 2,200 orang - gegaran paling dahsyat dalam sejarah Afghanistan baru-baru ini.
Gempa bumi adalah perkara biasa di Afghanistan, terutamanya di sepanjang banjaran gunung Hindu Kush, berhampiran tempat pertemuan plat tektonik Eurasia dan India.
Sejak 1900, timur laut Afghanistan dilanda 12 gempa bumi dengan magnitud melebihi tujuh, menurut Brian Baptie, seorang ahli seismologi dengan Pemantauan Geologi Britain.
Jurucakap wilayah Balkh, Haji Zaid, mengesahkan bahawa gempa bumi kuat itu turut memusnahkan sebahagian daripada makam suci Mazar-i-Sharif, merujuk kepada Masjid Biru yang terkenal.
Sementara itu, di platform media sosial X, pelbagai rakaman usaha menyelamat dikongsikan, menunjukkan cubaan mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, serta imej serpihan bangunan yang runtuh. Satu video yang dikongsi memaparkan anggota penyelamat menarik keluar beberapa mayat dari timbunan runtuhan. - REUTERS
