PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

AI mampu tangani bencana alam?

AI mampu tangani bencana alam?

BENCANA alam merupakan suatu tragedi yang memberi impak yang sangat besar kepada negara dan masyarakat. Kehilangan nyawa dan harta benda, kerosakan tempat tinggal dan infrastruktur merupakan antara bahana yang terpaksa dihadapi setiap kali berlaku bencana alam.

Jabatan Perangkaan menerusi Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia pada 2023 menunjukkan negara mencatatkan kerugian RM755.4 juta bersamaan 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Walaupun Jabatan Perangkaan memaklumkan pengurangan RM271 juta berbanding bencana pada 2022, jumlah kerugian terbabit masih menjadi jumlah besar dan menuntut tindakan serta penyelesaian pantas dan efisien.

Hujan lebat merupakan antara fenomena saban tahun yang terpaksa ditempuh oleh masyarakat khususnya yang berada di sekitar wilayah Pantai Timur.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) telah mengeluarkan ramalan akan berlakunya fenomena La Nina yang akan melanda Malaysia bermula Oktober hingga Disember tahun ini, seterusnya memberi persoalan dan tugasan besar kepada agensi berkaitan pengurusan bencana alam, adakah kita sudah bersedia menghadapi sekali lagi tragedi sebegini pada tahun ini? Apakah pembaharuan dan langkah terbaik yang mampu diadaptasi berbanding pada tahun sebelumnya?

Pertembungan Teknologi
Kejadian bencana sememangnya suatu perkara yang berlaku sama ada disebabkan oleh lumrah perubahan alam, ataupun berpunca daripada tangan-tangan yang merosak ekosistem alam tanpa pengawasan dan kawal selia yang sepatutnya.

Revolusi teknologi melalui penggunaan komputer membolehkan proses pendigitalan data serta integrasi pengesan berjaya direalisasikan. Sistem amaran awal bencana berasaskan pengesan seperti sistem amaran aras air sungai automatik, radar cuaca dan sistem pengesanan awal berasaskan satelit (METEOSAT, NOAA) yang digunakan untuk memantau awan ribut dan hujan lebat serta sistem GIS (Geographic Information System) yang membolehkan peta bencana dihasilkan secara digital bagi analisis risiko banjir atau tanah runtuh.

Dengan berkembangnya penggunaan dan potensi internet sebagai medium perhubungan dan perkongsian data, pengesanan dan amaran bencana dapat dijalankan dengan lebih pantas dan dalam masa nyata.

Penggunaan media sosial dan portal rasmi agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Met Malaysia membolehkan notifikasi masa nyata menyebar luas kepada warga setempat. Pemetaan awan dan imej satelit resolusi tinggi yang dihasilkan oleh Google Earth juga membantu dalam penilaian kawasan bencana secara visual dan pantas.

Meskipun adaptasi teknologi telah terbukti membantu pengurusan bencana alam yang lebih sistematik dan berkesan, negara kita masih tidak mampu mengelak pelbagai kejadian tragik yang telah meragut nyawa.

Peristiwa seperti banjir kilat di kawasan pedalaman dan tanah runtuh di kawasan awam menjadi suara alam yang menghantar mesej yang jelas, iaitu kerosakan yang berpunca daripada kecuaian serta kerakusan manusia dalam mengejar kemajuan dan keuntungan semata akan terus berlaku waima teknologi digunakan untuk mencegah kejadian yang sama berulang.

Sebagai contoh, pembalakan hutan secara besar-besaran tanpa reforestasi menyebabkan hilangnya kawasan tadahan air dan kestabilan tanah. Teknologi ramalan banjir dan tanah runtuh sukar berfungsi secara tepat dan berkesan disebabkan oleh adanya faktor luaran yang merubah landskap tanah dengan drastik.

Selain itu, pembinaan kawasan perumahan dan perindustrian tanpa mengikut piawaian yang betul turut mengundang kepada mudahnya berlaku fenomena banjir kilat. Tanpa kajian geoteknik yang terperinci, projek pembangunan yang dijalankan secara semberono berpotensi menyumbang kepada tanah runtuh dan hakisan tebing sungai secara mendadak.

Sistem pengurusan bencana alam bakal melemah akibat daripada sistem amaran awal banjir yang menjadi kurang efektif kerana sungai tidak lagi mempunyai kapasiti semula jadi. Ini adalah contoh bagaimana aktiviti manusia yang tidak terkawal mampu meruntuhkan ekosistem adaptasi teknologi yang asalnya mampu memberikan pencegahan awal terhadap bencana alam yang bakal berlaku.

Kecerdasan Buatan
Pembangunan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) telah terbukti memberi impak yang besar dalam pelbagai disiplin seperti pendidikan, pertanian dan perindustrian berskala besar. Mengambil manfaat positif AI yang boleh dilatih serta berupaya berkembang pesat, AI mampu menyokong sistem pengurusan bencana negara serta mengawal aktiviti pembangunan berisiko tinggi. Bagi memantau aktiviti penebangan hutan tidak terkawal, adaptasi AI serta penderiaan jarak jauh (remote sensing) berupaya mengesan perubahan luar biasa litupan hutan secara automatik.

Kaedah ini mampu mengenal pasti aktiviti pembalakan haram dan memelihara status hutan simpan negara, walaupun dalam kawasan terpencil. Penggunaan teknologi sebegini membolehkan agensi dan penguatkuasa berkaitan mengambil tindakan pantas untuk membendung penebangan hutan tidak terkawal, serta meramal kebarangkalian berlakunya kesan susulan seperti fenomena tanah runtuh dan banjir kilat.

Selain itu, aplikasi AI serta integrasi dengan teknologi dron membolehkan pemetaan titik panas berisiko tinggi seperti kawasan lereng bukit, kawasan saliran dan takungan air serta zon banjir dapat dilakukan.

Pemetaan sistematik ini membolehkan pihak berkuasa memantau dan menguatkuasakan larangan pembangunan projek di kawasan berisiko tinggi. Pemantauan menggunakan dron juga boleh dilakukan untuk memastikan pemaju mematuhi garis panduan pembangunan.

Kesedaran
Sesungguhnya, penggunaan pelbagai teknologi dan inovasi untuk mengurus fenomena dan bencana alam bukan hanya terletak kepada penguat kuasa dan agensi penyelamat. Sebaliknya, kesedaran akan bahaya dan impak pelbagai fenomena alam perlu sampai kepada masyarakat umum.

Fenomena di kawasan rekreasi sungai dan pantai seperti fenomena kepala air, arus pusar dan arus karau saban tahun meragut ratusan nyawa dek kerana kurangnya kesedaran tentang kejadian sebegini.

Bermula dengan kesedaran am tentang bagaimana fenomena ini berlaku, masyarakat akan lebih mudah memahami langkah pencegahan awal yang boleh dilakukan seperti melihat tanda-tanda berlakunya arus karau di kawasan pantai yang boleh menghanyutkan mangsa dengan tidak disangka.

Dengan pembangunan teknologi dan inovasi berasaskan pengesan pintar serta integrasi amaran awal dan pemantauan data, kejadian arus sebegini boleh diramal dan dikesan lebih awal, seterusnya langkah pencegahan dan penyelamatan efektif mampu diterjemahkan.

Sinergi kesedaran dan aplikasi teknologi bermula daripada masyarakat awam mampu merealisasikan pengurusan bencana alam yang lebih sistematik, demi keselamatan awam yang lebih terjamin. – UTUSAN

PROFESOR Madya Ts. Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar merupakan pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search