Ribut, puting beliung kejadian terburuk sepanjang jadi MB- Amirudin
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan kejadian ribut dan puting beliung yang berlaku di Telok Panglima Garang, Kuala Langat semalam adalah yang terburuk sepanjang beliau menjadi Menteri Besar Selangor.
Amirudin berkata, peristiwa yang sangat menakutkan itu turut merosakkan puluhan rumah penduduk serta sekolah.
"Ini antara peristiwa kejadian terbesar, saya ingat antara tiga ke empat tahun ini, ini antara yang terbesar dan (ribut) yang paling kuat. Saya rasa sepanjang saya menjadi Menteri Besar, ini yang terkuat.
"Kalau sebelum ini ada berlaku di kawasan utara Selangor seperti Sabak Bernam, ia banyak berlaku dekat kawasan kampung dan bendang, bagaimanapun, kali ini ia berlaku di kawasan perumahan dan membabitkan kesan yang besar," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Amirudin berkata, langkah susulan akan di ambil terhadap mangsa ribut selepas laporan lengkap membabitkan insiden berkenaan diteliti.
Katanya, ia antara lain membabitkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat bencana berkenaan dan perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), esok.
"Esok saya akan dapatkan angkanya dan kenyataan akan dibuat selepas selesai MMKN untuk menjelaskan beberapa perkara mengenai influenza, beberapa kes yang berlaku di sekolah dan langkah-langkah susulan berkaitan bencana yang berlaku.
Setakat ini, Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menyalurkan bantuan bencana berjumlah RM400,000 untuk sekolah dan mangsa-mangsa kita ada peruntukan di bawah Tabung Bencana sebanyak RM500 untuk satu rumah yang terkesan tetapi saya rasa nilainya lebih nanti kita tengok apa lagi sokongan yang boleh diberikan," katanya.
Amirudin berkata, berdasarkan laporan awal ribut yang turut merosakkan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan akan memerlukan sekurang-kurangnya RM200,000 hingga RM400,000 untuk pembaikan semula sekolah terbabit.
Katanya, Kementerian Pendidikan juga sudah mengambil langkah untuk menangani kerosakan di ekolah yang terbabit bencana.
Bagi kerosakan rumah, kerajaan negeri perlu meneliti laporan berhubung kerosakan yang dialami penduduk.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan 18 individu daripada lapan keluarga susulan kejadian ribut yang melanda kawasan terbabit.
Beliau ber, kata dalam kejadian kira-kira 4.15 petang semalam, sebanyak lima sekolah, sebuah dewan dan lebih kurang 40 rumah dilaporkan mengalami kerosakan.
Antara kawasarbabit libat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.
Turut terkesan, Sekolah Kebangsaan Jalan Tanjung, Dewan Wawasan Batu 9, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9, serta kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
Dalam pada itu, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di negeri ini yang menempatkan 65 mangsa dari 21 keluarga yang termasuk penduduk yang terkesan dengan ribut yang berlaku di sekitar Meru, kelmarin.
PPS berkenaan dibuka di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Meru; Dewan Harmoni Batu 7 Sijangkang dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman.
