PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Keperluan mendesak modenkan sistem paip air negara

Keperluan mendesak modenkan sistem paip air negara

KUALA LUMPUR: Negara berdepan keperluan mendesak untuk memodenkan sistem saluran paip air, mengukuhkan kecekapan operasi dan menangani cabaran terhadap kebocoran serta gangguan sistem berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keperluan itu bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya ia adalah hal ehwal negara yang menyentuh setiap keluarga, komuniti dan generasi.

Katanya, negara berada di titik penting dalam sektor air negara dan setiap keputusan diambil akan membentuk kebolehpercayaan, kelestarian dan kesaksamaan perkhidmatan air untuk generasi masa depan.

"Tanggungjawab kita bukan hanya menaik taraf teknologi paip, tetapi juga memperkukuh rangka kerja pentadbiran, memastikan setiap isi rumah menerima bekalan air bersih yang boleh dipercayai, cekap dan berdaya tahan.

"Justeru Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) komited untuk memacu perubahan melalui rangka kerja dasar dan kawal selia yang komprehensif, berpaksikan empat tonggak utama.

 

"Empat tonggak itu ialah kecekapan mesti diintegrasikan dari reka bentuk hingga ke operasi, transformasi digital bagi membangunkan sistem yang responsif, mengesan kebocoran awal dan mengoptimumkan tekanan secara masa nyata.

"Selain itu, menyeragamkan ketahanan bahan supaya sesuai dengan perubahan iklim, urbanisasi dan keperluan masa depan serta libat urus dengan pemegang taruh," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Persidangan dan Pameran Khas Saluran Paip Air Malaysia 2025 bertemakan 'Bahan Saluran Paip, Reka Bentuk, Pembinaan, Pemantauan dan Penyelenggaraan untuk Air dan Pembetungan Sistem' yang dianjurkan oleh Persatuan Air Malaysia.

Turut hadir Presiden Persatuan Air Malaysia, Mohamad Hairi Basri.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kemajuan sebenar adalah apabila negara bergerak dari idea kepada tindakan dan dari teori kepada transformasi.

"Justeru, kementerian akan melaksanakan program penggantian aset berdasarkan keadaan bagi memastikan setiap naik taraf adalah tepat pada masanya, berfokus dan selari dengan keperluan sebenar, bukan berdasarkan jadual tetap semata-mata.

"Kementerian akan menyelaraskan piawaian bahan bagi melindungi daripada kakisan dan menubuhkan pusat ilmu air yang akan mengumpul, berkongsi dan memperluas amalan terbaik dalam pemulihan, inovasi dan maklum balas pantas.

"Ini bukan langkah kecil, sebaliknya langkah berani ke arah masa depan di mana aset akan lebih tahan lama, sistem air lebih berdaya tahan dan rakyat menikmati perkhidmatan berkualiti setiap hari," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan menyusun semula pembiayaan utiliti air melalui mekanisme berkaitan prestasi yang memberi insentif kepada kecekapan dan hasil.

"Selain itu, kementerian juga sedang membina tenaga kerja masa depan melalui akademi air, program bimbingan dan pembangunan bakat berterusan.

"Kita juga mesti memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem air negara, justeru kementerian akan bergerak dari kawal selia reaktif kepada proaktif dengan menguatkuasakan piawaian lebih tinggi terhadap kualiti paip, mewajibkan pemeriksaan dan menerbitkan keputusan secara telus melalui Portal Akauntabiliti Paip.

"Platform ini akan menyediakan pelaporan masa nyata kepada rakyat mengenai gangguan, kadar kebocoran dan garis masa penyelesaian," katanya.

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search