Pelajar hilang di sungai: Arus kuat, sukarkan pencarian, bomba harap mangsa tak dihanyut ke luar muara
- Admin UKK
- Berita
DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Delong yang hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama empat rakan di Sungai Kampung Delong, dekat sini, disambung semula hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shahrizal Shamsudin, berkata operasi bermula 7 pagi ini membabitkan kekuatan 50 anggota bomba, polis dan penduduk kampung.
Pencarian diperluaskan meliputi kawasan sepanjang dua kilometer menggunakan bot termasuk dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
"Selain pencarian di sepanjang pesisir sungai, kita juga melakukan selaman di sekitar kawasan di mana lokasi tempat terakhir mangsa, Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman, 12, dilihat sebelum hilang," katanya.
Shahrizal berkata, keadaan air sungai yang keruh serta berarus kuat menyulitkan usaha pasukan penyelam mengesan kedudukan mangsa.
"Keadaan arus yang kuat mungkin menyebabkan mangsa hanyut dan kita berdoa mereka tidak hanyut keluar ke Muara Kuala Dungun. "Sehingga jam 11 .30 pagi ini mangsa belum ditemui," katanya.
Ibu bapa murid terbabit, Yusliza Jusoh, 45 dan Nik Sulaiman Nik Ismail, 48, turut berada di lokasi, namun usaha menemubual mereka belum berhasil.