Ahli Parlimen sedia salur peruntukan untuk bantu APM
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Cadangan supaya Ahli Parlimen menyalurkan sebahagian peruntukan kawasan bagi pembelian uniform anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) disambut baik kerana agensi itu berperanan penting dalam pengurusan bencana negara.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata beliau sedia menyalurkan sebahagian peruntukan diterima kawasannya bagi membantu APM.
"Saya secara prinsipnya tiada masalah untuk membantu pihak APM menggunakan peruntukan saya selaku Ahli Parlimen, malah tahun lalu kami membelanjakan RM12,500 untuk bekalan bagi pentadbiran pejabat kepada APM Hulu Langat yang berpusat di kawasan Parlimen Bangi," katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, bermula tahun depan, Ahli Parlimen diminta memperuntukkan sebahagian daripada dana kawasan bagi pembelian uniform pasukan APM.
Bagaimanapun, Syahredzan berkata, Kerajaan Persekutuan juga perlu mencari jalan untuk memastikan peruntukan untuk unit keselamatan berkenaan mencukupi melalui peruntukan tahunan.
"Ini termasuk kelengkapan pejabat, aset untuk kerja di lapangan dan uniform untuk ahli dan sukarelawan.
"Ini bagi memastikan kesiapsiagaan APM tidak terganggu jika hanya bergantung kepada Ahli Parlimen untuk menyalurkan peruntukan," katanya.
Ditanya risiko kawasan Parlimen pembangkang yang tidak menerima peruntukan mencukupi untuk disalurkan kepada APM, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dijangka terus menyalurkan dana khusus itu kepada APM.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, berkata tiada halangan bagi wakil rakyat membantu APM menggunakan peruntukan sedia ada kerana agensi itu banyak menyumbang dalam isu kebajikan dan pengurusan bencana seperti banjir serta tanah runtuh.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya APM mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi menambah peruntukan kepada agensi berkenaan dalam Bajet 2026 akan datang.
Katanya, walaupun perbelanjaan negara sedia ada sudah tinggi, keperluan tambahan tetap wajar dipertimbangkan memandangkan peruntukan sedia ada untuk pembangunan dan agensi berkaitan seperti APM masih belum mencukupi.