PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Tentera India guna dron cari 50 mangsa hilang tragedi banjir kilat di Himalaya

Tentera India guna dron cari 50 mangsa hilang tragedi banjir kilat di Himalaya

NEW DELHI: Tentera India menggunakan anjing pengesan, dron dan jentera berat dalam usaha mencari lebih 50 mangsa yang masih hilang selepas banjir kilat melanda kawasan pergunungan Himalaya semalam.

Sekurang-kurangnya empat orang disahkan maut selepas air berlumpur yang deras disertai serpihan runtuhan menghanyutkan bangunan dan meranapkan penempatan di bandar pelancongan Dharali di negeri Uttarakhand, menyebabkan kemusnahan besar di kawasan lembah pergunungan yang sempit itu.

Usaha mencari dan menyelamat berdepan kesukaran berikutan hujan monsun yang masih lebat, talian komunikasi terputus dan talian telefon yang rosak.

Namun, apabila pasukan penyelamat berjaya sampai kepada mangsa yang terperangkap, jumlah individu yang dilaporkan hilang berjaya dikurangkan, berbanding kira-kira 100 orang yang tidak dapat dikesan lewat Selasa.

“Operasi mencari mangsa yang hilang masih diteruskan,” kata Pegawai Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Mohsen Shahedi.

Shahedi berkata, lebih 50 orang hilang di Dharali, sementara 11 anggota tentera masih tidak dapat dikesan di kampung Harsil yang terletak di lokasi lebih rendah.

“Beberapa unit tambahan tentera bersama anjing pengesan, dron pengangkut, jentolak dan peralatan berat dikerahkan bagi mempercepat usaha mencari dan menyelamat,” menurut kenyataan tentera India.

Helikopter tentera turut digunakan untuk menghantar bekalan penting dan memindahkan mangsa yang terperangkap selepas jalan-jalan musnah teruk akibat banjir.

Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami berkata, banjir itu berpunca daripada kejadian ‘letusan awan’ yang menyebabkan hujan turun terlalu lebat dalam masa singkat.

Beliau berkata, pasukan penyelamat digerakkan secara besar-besaran dan pengangkutan udara digunakan walaupun berdepan kesukaran akibat hujan yang masih lebat dan kabus tebal.

Rakaman video tular menunjukkan beberapa penduduk cuba berlari menyelamatkan diri sebelum dipukul arus deras lumpur yang turut merobohkan bangunan.

Seorang saksi, Suman Semwal, memberitahu akhbar Indian Express, bapanya melihat air deras turun dari kampung di atas bukit bersama bunyi dentuman kuat sebelum menghentam Dharali.

“Apa yang mereka lihat berada pada skala yang tidak dapat dibayangkan. Mereka cuba menjerit, tetapi suara mereka tidak kedengaran.

“Orang ramai tidak faham apa yang sedang berlaku. Dalam masa 15 saat, banjir itu menghentam mereka,” kata Semwal.

Sebahagian besar bandar itu dilitupi lumpur setebal kira-kira 15 meter, menurut pasukan penyelamat, sehingga ada bangunan yang tertimbus sepenuhnya.

Gambar yang dikeluarkan oleh tentera dan agensi penyelamat menunjukkan anggota pasukan mengangkat batu dan serpihan dengan tangan, selain jentera berat membersihkan laluan.

Menurut jabatan kaji cuaca India, semua sungai utama di negeri Uttarakhand kini melepasi paras bahaya.

“Penduduk sudah dipindahkan ke kawasan lebih tinggi berikutan peningkatan paras air akibat hujan tanpa henti,” kata tentera lagi.

Banjir dan tanah runtuh yang membawa maut sering berlaku sepanjang musim monsun dari Jun hingga September.

Namun pakar berkata, perubahan iklim dan pembangunan bandar yang pesat meningkatkan kekerapan serta keseriusan bencana ini.-AFP

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search