Cuaca tak cukup panas, bomba percaya kebakaran hutan, belukar berlaku akibat perbuatan manusia
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kebakaran hutan dan belukar yang dilaporkan sejak beberapa hari lalu dipercayai berpunca perbuatan manusia.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata ia mengambil kira keadaan cuaca ketika ini tidak cukup panas untuk mencetuskan kebakaran secara semula jadi.
"Penyalaan sendiri tak mungkin berlaku dengan keadaan cuaca sekarang.
"Jadi, besar kemungkinan kebakaran ini berpunca daripada manusia, walaupun kita tidak membuat siasatan forensik khusus," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kejadian terkini termasuk kebakaran hutan seluas kira-kira 1.2 hektar di kawasan Bukit Kajang Prima, semalam yang memerlukan 22 anggota bomba serta empat jentera memadamkan kebakaran itu.
Selain itu, satu lagi kebakaran belukar turut dilaporkan berhampiran kawasan Bukit Jalil, memaksa pasukan bomba bertindak pantas mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Nor Hisham berkata, pemantauan dan operasi pihaknya ketika ini terkawal dan tiada kebakaran besar direkodkan setakat ini termasuk membabitkan kawasan tanah gambut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejumlah 7,223 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, membabitkan kebakaran kebun atau ladang, hutan, belukar dan sampah.
"Kebakaran belukar atau lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 4,733 kes, diikuti kebakaran sampah (1,662 kes), hutan (537 kes) dan kebun atau ladang (291 kes)," katanya.
Beliau berkata, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 1,364 kejadian, diikuti Perak (938), Johor (831), Kedah (662), Kuala Lumpur (113) dan Labuan (44), manakala Putrajaya mencatatkan jumlah terendah dengan lapan kes.
"Saya nasihatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang tanda awal kebakaran bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya.