'Pemandu bot sudah nasihat, mereka tetap mahu balik walau cuaca buruk'
- Admin UKK
- Berita
BESUT - Kejadian tragis melibatkan sebuah bot penumpang terbalik yang meragut tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak di perairan Pulau Perhentian malam Sabtu lalu dipercayai berpunca daripada cuaca buruk yang melanda secara tiba-tiba.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulau Perhentian, Nik Zawawi Mohd Nor berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke penginapan selepas menonton pertunjukan api di Long Beach, Pulau Perhentian Kecil.
"Keadaan cuaca pada awal malam itu kelihatan baik, namun mula berubah sekitar jam 9 malam sebelum ribut kuat melanda.
"Pemandu bot ada memaklumkan bahawa dia telah menasihati penumpang supaya menangguhkan perjalanan pulang atas faktor keselamatan, namun mereka tetap mahu balik ke resort," katanya ketika dihubungi Sinar Harin di sini pada Isnin.
Beliau berkata, bot yang membawa 15 penumpang itu hanya mengambil masa sekitar 10 minit perjalanan merentasi jarak kira-kira empat kilometer dari Long Beach ke kawasan penginapan di Pulau Perhentian Besar.
"Kalau mereka boleh tunggu dalam dua hingga tiga jam lagi mungkin tragedi ini tidak berlaku.
"Lagipun ramai penumpang lain yang terkandas mereka sanggup tunggu lama semata-mata mahu pastikan cuaca benar-benar pulih.
"Malangnya dalam insiden ini, bot itu terbalik kerana dihempas ombak besar, hanya beberapa meter dari resort yang mereka duduk," ujarnya.
Tambah Nik Zawawi, ribut kuat yang melanda pada malam itu hanya reda sekitar jam 11.30 malam.
Bagaimanapun, katanya, usaha menyelamat segera digerakkan sebaik kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
"Penduduk setempat dan pihak berkuasa mengambil langkah segera menyelamatkan mangsa yang terlibat.
"Tragedi ini amat menyedihkan kerana ia melibatkan keluarga dan anak kecil. Ia berlaku secara tiba-tiba akibat faktor alam yang sukar dijangka," katanya.
Dalam pada itu, Nik Zawawi berkata, operasi bot atau lebih dikenali sebagai 'water taxi' di pulau itu biasanya bergerak secara fleksibel dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada waktu operasi seperti dinyatakan dalam lesen.
"Kita akui, mengikut lesen Jabatan Laut memang bot penumpang tidak dibenarkan beroperasi pada waktu malam.
"Tetapi bagi penduduk dan pelancong di sini, bot merupakan keperluan kerana ia pengangkutan utama kami di sini. Ia digunakan pada bila-bila masa, berbeza dengan daratan," katanya.
Tragedi bot terbalik pada malam Sabtu lalu mengorbankan tiga mangsa iaitu S Arumugam, 40 dan anaknya, A Sarrvihka, 3, dan seorang lagi kanak-kanak perempuan, VR Vennpani, 10.
Seorang lagi kanak-kanak, TS Sakthivel, 6, dilaporkan masih kritikal dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Difahamkan, kesemua mangsa datang dari Butterworth, Pulau Pinang dan Sungai Petani Kedah untuk bercuti bersama keluarga dan telah mendaftar masuk ke sebuah resort di pulau berkenaan sejak Jumaat lalu.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengesahkan satu siasatan penuh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti aspek keselamatan operasi bot.