PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebimbangan memuncak

Kebimbangan memuncak

Sungai Besar: Penduduk di pekan Simpang Lima meluahkan kebimbangan terhadap keadaan beberapa pokok tua dan uzur di sekitar kawasan itu yang kini dianggap berisiko tinggi untuk tumbang, terutama pada musim hujan dan ribut petir.

Kebimbangan itu memuncak selepas kejadian sebatang pokok angsana yang patah sebelum menghempap sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Lima, baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku ketika waktu pulang sekolah, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga.

Penduduk, Sarimah Abdul Hamid, 35, berkata, kebanyakan ibu bapa kerap menunggu anak di bawah pokok sama, tanpa menyedari risiko yang ada.

Sarimah mendakwa ada sekurang-kurangnya 16 pokok berusia lebih 60 tahun di sepanjang jalan utama berhampiran sekolah itu dan lima daripadanya berada dalam keadaan yang sangat uzur.

Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemeriksaan segera dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk pemangkasan atau penebangan pokok yang berisiko.

"Bagi saya, kalau boleh tebang tebang semua sekali kerana ia boleh membahayakan penduduk.

"Apa jaminan keselamatan untuk kami kalau pihak berkuasa sekadar browning dahan pokok?" katanya.

Sarimah berkata, ketika waktu persekolahan iaitu Isnin hingga Jumaat kawasan itu sesak dengan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah.

"Bayangkan kalau pokok itu tiba-tiba tumbang dan menghempap orang ramai. Sudah tentu ada nyawa yang melayang.

"Sepatutnya dari tahun lalu pokok ini ditebang. Ditambah pula dengan sarang tebuan di dahan menunggu waktu untuk jatuh," katanya.

Bagi rakannya, Nur Safirah Syuhada Zulkapli, 34, berkata, masalah itu dilihat berlanjutan sehingga penduduk terpaksa membuat laporan berkali-kali kepada ketua kampung.

Katanya, ada peniaga yang sebelum ini berniaga di bawah pokok terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat selepas kejadian yang berlaku tempoh hari.

"Kami risau kalau pokok ini menghempap murid sekolah kerana mereka sering bermain di bawahnya selepas tamat waktu persekolahan.

"Kejadian pokok tumbang baru-baru ini tiada angin dan ribut, tahu-tahu kereta sudah dihempap," katanya.

Seorang lagi penduduk, Faridah Fadzil, 46, pula meminta pihak berkuasa supaya mengurangkan karenah birokrasi ketika penduduk kampung meminta pertolongan.

"Insiden tempoh hari sangat memeningkan kami. Apa tidaknya ketika menghubungi pihak berwajib, mereka menolak antara satu sama lain dengan mengatakan pokok yang tumbang bukan di bawah kawasan masing-masing.

"Dengan kerja pembersihan pokok tumbang mengambil masa sekurang-kurangnya sejam, sudah tentu ia menyukarkan perjalanan penduduk yang menggunakan laluan itu," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search