40 rumah di 7 kampung di Baling dilanda banjir kilat
- Admin UKK
- Berita
BALING: Hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak jam 7 malam tadi menyebabkan 40 rumah di tujuh kampung di daerah ini dilanda banjir kilat.
Antara kampung terjejas adalah Kampung Paya, Kampung Siput, Kampung Dusun Ghani, Kampung Banggol Derom, Kampung Haji Abas, Kampung Lubok Pedati berikutan limpahan air Sungai Ketil.
Banjir kilat itu turut menyebabkan kawasan rumah penduduk terbabit dinaiki air sehingga paras buku lali dan ada juga di paras lutut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.38 malam di Kampung Kedua, di sini.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan I Samsari Ibrahim tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk melakukan pemantauan.
"Sekiranya limpahan air terus meningkat, berkemungkinan paras air di tujuh kampung itu terus meningkat.
"Setakat ini tiada pusat pemindahan (PPS) dibuka dan tiada mangsa yang dipindahkan dari kediaman mereka.
"Buat masa sekarang hujan sudah berhenti, namun anggota bomba tetap melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air," katanya di sini hari ini.
Zulkhairi berkata, anggotanya turut menasihatkan penduduk supaya bersedia untuk berpindah sekiranya paras air semakin meningkat dan hujan lebat berterusan.