Sistem PRIME tingkat siap siaga hadapi situasi bencana
- Admin UKK
- Berita
CYBERJAYA: Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dilancarkan bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan untuk berdepan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak yang direka khusus untuk menyokong operasi bantuan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta pasukan penyelamat.
Menurutnya, PRIME menggabungkan pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron, serta berkeupayaan menyediakan ketersambungan komunikasi yang boleh dipercayai dan fleksibel mengikut keperluan operasi di lokasi yang mencabar.
“Ini merupakan usaha pihak MCMC untuk membantu agensi termasuk NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) bagi memastikan di kawasan-kawasan operasi bencana, aspek komunikasi dapat terus kita uruskan dengan baik, bukan hanya untuk para petugas tetapi juga untuk mangsa atau pun mereka yang diselamatkan.
“Kita harap PRIME ini akan dapat membantu urusan penyediaan saluran komunikasi terutama bagi pasukan-pasukan petugas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PRIME di sini semalam.
Dari segi teknikal, PRIME direka dengan keupayaan untuk menggabungkan sambungan satelit dan rangkaian selular bagi membolehkan capaian Internet berkelajuan tinggi disediakan secara lebih stabil dan efisien.
Bagi liputan Internet, ia boleh mencapai sejauh 150 meter di sekeliling kenderaan PRIME, dengan sokongan titik capaian Wi-Fi yang berfungsi untuk memperluas jangkauan apabila perkhidmatan diperlukan, selain turut dilengkapi dengan sistem radio mudah alih yang membolehkan komunikasi di kawasan yang langsung tiada liputan. – UTUSAN