Indonesia perluas radius bahaya Gunung Lewotobi Laki-Laki
- Admin UKK
- Berita
KUPANG: Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memperluaskan kawasan larangan aktiviti di sekitar Gunung Lewotobi Laki-laki selepas ia meletus dan memuntahkan abu setinggi 10 kilometer ke udara.
Menurut laporan Jabatan Geologi, tahap amaran Gunung Lewotobi Laki-laki dinaikkan daripada tahap bersiap siaga kepada amaran bahaya tahap keempat.
Radius kawasan bahaya kini diperluaskan kepada tujuh kilometer, manakala kawasan sekitar barat daya ke timur laut dikenakan larangan aktiviti dalam radius lapan kilometer dari pusat letusan.
PVMBG berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan hasil analisis visual dan alat pemantauan yang menunjukkan peningkatan ketara dalam aktiviti gunung berapi tersebut.
Semalam, gunung berapi itu mencatatkan 50 gegaran dalam tempoh dua jam, jauh melebihi purata harian iaitu antara lapan hingga 10 gegaran.
“Masyarakat dan pelancong dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti dalam kawasan berisiko tinggi tersebut,” menurut laporan PVMBG yang diterima CNN Indonesia.
Penduduk di kawasan sekitar juga diingatkan agar berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya banjir lahar, terutama jika hujan lebat turun di kawasan aliran sungai yang berpunca dari puncak gunung, seperti di kawasan Dulipali, Nobo, Hokeng Jaya dan Nurabelen.
Penduduk yang terdedah kepada hujan abu juga disarankan supaya memakai pelitup muka bagi melindungi saluran pernafasan.
Setakat ini, 12 keluarga sudah dipindahkan dari kawasan berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga.
Puluhan penerbangan melibatkan lokasi pulau peranginan Bali juga terpaksa dibatalkan ekoran letusan tersebut.