PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

MBDK tangani pencemaran muara Sungai Klang

MBDK tangani pencemaran muara Sungai Klang

KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melaksanakan pembersihan sungai di kawasan Royal Selangor Yacht Club susulan rasa dukacita yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai keadaan kotor dan penuh sampah di sekitar muara Sungai Klang.

Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, lokasi itu dipilih kerana ia menjadi perhatian baginda yang menzahirkan kebimbangan terhadap pencemaran teruk di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, MBDK mengambil langkah proaktif dengan menjadikan lokasi itu sebagai tumpuan utama pembersihan sungai pada 1 Jun ini.

"Semua ahli majlis MBDK, ketua jabatan, agensi-agensi daerah Klang dan komuniti setempat dijemput turut serta bagi memastikan kelestarian sungai dapat dipelihara bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan perutusan Datuk Bandar semasa Mesyuarat Penuh MBDK secara langsung melalui platform Facebook MBDK pada Khamis

Pada 5 Disember tahun lalu, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan tahap kebersihan termasuk sungai dan longkang di Bandar Raya Diraja Klang.

Baginda bertitah, terlalu banyak rungutan daripada orang ramai terutama pelancong dalam dan luar negara termasuk kapal pelayaran yang masuk melalui pintu masuk utama Pelabuhan Klang.

Titah Sultan Sharafuddin, rata-rata mereka menyatakan pemandangan di Pelabuhan Klang dan Bandar Raya Diraja Klang tercemar dengan sampah sarap dan amat menjijikkan.

Dalam pada itu, Abd Hamid berkata, MBDK turut mengambil pendekatan mesra alam dalam usaha memulihara Sungai Klang menerusi penggunaan bebola lumpur atau 'mudball' bagi mengurangkan pencemaran dan bau busuk air sungai.

Jelas beliau, 'mudball' mengandungi mikroorganisma efektif (EM) bertindak menguraikan bahan pencemar sekali gus membantu mengurangkan bau tidak menyenangkan dalam sungai.

Katanya, langkah itu bukan sahaja membantu dari sudut teknikal, tetapi juga memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kaedah rawatan air lebih lestari.

"Penggunaan 'mudball' yang dibaling ke dalam sungai menjadi elemen penting kerana ia memberi impak rendah kepada alam sekitar," katanya.

Abd Hamid memberitahu, inisiatif itu telah dilaksanakan menerusi Program Pembersihan Sungai Klang River Ranger 2.0 di Pengkalan Nelayan, Kampung Sungai Udang pada 3 Mei lalu.

Jelas beliau, program itu hasil kerjasama antara MBDK, Kolej Pengajian Kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan komuniti Sungai Udang.

"Antara objektif utama penganjuran program itu ialah meningkatkan kesedaran serta penglibatan mahasiswa UiTM dan penduduk setempat dalam menjaga kelestarian sungai," tambah beliau.

Beliau menjelaskan, Sungai Klang bukan sekadar simbol geografi dan sejarah bandar, malah menjadi nadi kehidupan dari sudut ekologi, ekonomi dan sosial.

"MBDK sentiasa prihatin terhadap kebersihan Sungai Klang dengan melaksanakan pelbagai program berterusan termasuk aktiviti pembersihan dan pendidikan alam sekitar secara kolaboratif bersama komuniti," jelasnya.

Menurut beliau, MBDK terus mempergiatkan usaha menjaga Sungai Klang dengan pendekatan inklusif dan melibatkan semua lapisan masyarakat.

"Ia juga bagi memastikan sungai bersejarah ini kekal bersih dan lestari untuk generasi masa depan," katanya.

Sementara itu, katanya, bagi memperkukuh lagi kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan sungai, MBDK akan menganjurkan Mini Konvensyen Cintai Sungai Klang.

Ujar beliau, konvensyen itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan MBDK, Bandar Bukit Raja, 5 Jun ini.

"Konvensyen ini menjadi platform untuk memberi pendedahan tentang kepentingan penjagaan sungai kepada komuniti, selain menggalakkan perkongsian idea dan amalan terbaik serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar," tambahnya.

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search