PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gunung Lewotobi di Indonesia meletus, cetus amaran penerbangan tertinggi

Gunung Lewotobi di Indonesia meletus, cetus amaran penerbangan tertinggi

JAKARTA: Gunung Lewotobi di Wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, meletus beberapa kali pada Ahad, menyebabkan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi negara itu mengeluarkan amaran penerbangan tertinggi, lapor Xinhua.
Letusan terkuat berlaku pada pukul 14.05 waktu tempatan, memuntahkan kepulan abu tebal setinggi 6,000 meter ke udara. Awan tebal berwarna kelabu bergerak ke arah utara, timur laut, barat dan barat laut dari kawah.
 
Pihak berkuasa menaikkan Notis Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan (VONA) ke tahap merah, iaitu amaran tertinggi, menasihati pesawat supaya mengelak terbang di bawah paras 6,000 meter berhampiran gunung berapi itu disebabkan bahaya abu. Syarikat penerbangan turut diberi amaran mengenai potensi gangguan penerbangan akibat kepulan abu.
 
Bagi melindungi komuniti berhampiran, pihak berkuasa menetapkan zon bahaya sejauh enam kilometer dari kawah, melarang pelancong dan pengunjung daripada memasuki kawasan itu. Penduduk di lereng gunung turut diberi amaran mengenai kemungkinan berlaku lahar (aliran lumpur gunung berapi) yang dicetuskan oleh hujan lebat, kerana sungai dari puncak gunung boleh membawa serpihan.
 
Mereka yang berada di kawasan terjejas abu dinasihatkan memakai pelitup muka untuk mengurangkan risiko gangguan pernafasan akibat zarah di udara.
 
Pada ketinggian 1,584 meter, Gunung Lewotobi adalah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia.
 
--BERNAMA-XINHUA
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search