Letupan paip gas: Kerajaan Selangor tawar khidmat pengantara bantu tuntutan insurans
- Admin UKK
- Berita
KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor sedia menawarkan bantuan khidmat pengantara kepada penduduk yang terjejas dalam usaha menuntut pampasan insurans susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights bulan lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Unit Pengurusan Bencana Selangor petang ini.
“Ini adalah perjanjian antara tuan empunya (pemilik) dan syarikat insurans. Segala hak dan tanggungjawab telah dinyatakan dalam polisi insurans masing-masing.
“Kerajaan negeri bersedia membantu, tetapi kita akan selesaikan isu-isu asas dahulu seperti bantuan sewa rumah sementara. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C, di sini, hari ini.
Terdahulu, sebahagian penduduk yang terkesan meluahkan rasa kecewa apabila berdepan kesukaran menuntut pampasan insurans bagi rumah dan kenderaan yang rosak dalam kejadian tersebut.