3 gempa bumi, gegar China, Indonesia, Kepulauan Vanuatu
- Admin UKK
- Berita
SUMATERA: Gempa bumi magnitud 6 dilaporkan melanda Sumatera Utara, Indonesia lewat semalam, mengakibatkan gegaran dirasai sehingga Pulau Pinang, di Malaysia, sejauh kira-kira 500 kilometer (km).
Beberapa penduduk pangsapuri di Pulau Tikus, Jalan Masjid Kapitan Keling dan Tanjung Bungah, melaporkan terasa gegaran selama kira-kira 20 saat.
Gegaran itu dilaporkan Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ) yang menyatakan gempa berlaku pada kedalaman 89km.
Sementara itu, menurut hantaran di laman Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi berkenaan berlaku pada kedalaman 74km dengan pusat gempa terletak kira-kira 107km ke tenggara Meulaboh di wilayah Aceh.
Tiada ancaman tsunami dikesan susulan gempa itu. Sementara itu pihak berkuasa di Beijing, China melaporkan satu gempa bumi magnitud 5.5 melanda Tibet awal pagi tadi.
Menurut Pentadbiran Gempa Bumi China (CEA) gegaran berlaku berlaku di bandar Shigatse pada jam 5:11 pagi (2111 GMT), pada kedalaman 10km.
Pihak berkuasa sudah menghantar pasukan tindak balas kecemasan dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pada Januari lalu, lebih 120 orang terkorban akibat gempa bumi magnitud 6.8 yang melanda daerah Tingri, Tibet, kira-kira 240 km dari Shigatse.
GFZ juga melaporkan satu gempa bumi magnitud 5.7 turut menggegarkan Kepulauan Vanuatu. - AGENSI