Thailand tahan eksekutif China dikaitkan dengan runtuhan bangunan di Bangkok
- Admin UKK
- Berita
BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menahan seorang eksekutif warga China yang bekerja dengan syarikat pembinaan sebuah pencakar langit di Bangkok yang runtuh akibat gempa bumi besar, menyebabkan puluhan mangsa terkorban.
Menara 30 tingkat itu musnah menjadi timbunan runtuhan apabila gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda negara jiran, Myanmar, bulan lalu, mengorbankan 47 orang di tapak pembinaan dan 47 lagi masih hilang.
Menteri Kehakiman Thailand, Tawee Sodsong, dalam sidang media semalam, berkata mahkamah Thailand mengeluarkan waran tangkap terhadap empat individu, termasuk tiga warga tempatan, yang berkhidmat dengan China Railway No 10, kerana melanggar Akta Perniagaan Asing.
Jabatan Siasatan Khas (DSI) di bawah Kementerian Kehakiman dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa seorang daripada suspek sudah ditahan iaitu wakil syarikat warga China dikenali sebagai Zhang.
China Railway No 10 adalah sebahagian daripada usaha sama dengan syarikat Itali-Thai membina menara pejabat audit negara sebelum insiden runtuhan berlaku.
Zhang disenaraikan sebagai pemegang saham sebanyak 49 peratus dalam syarikat berkenaan, manakala tiga rakyat Thailand memegang baki 51 peratus saham.
Namun, Tawee berkata kepada wartawan bahawa pihaknya mempunyai bukti yang menyatakan rakyat Thailand terbabit memegang saham bagi pihak asing.
"Kami mempunyai bukti... bahawa ketiga-tiga rakyat Thailand itu memegang saham bagi pihak asing yang lain," katanya.
Di bawah Akta Perniagaan Asing, warga asing hanya dibenarkan memegang maksimum 49 peratus saham dalam sesebuah syarikat.
Dalam perkembangan berasingan, Tawee berkata, beberapa siasatan berhubung runtuhan itu masih dijalankan, termasuk dakwaan penipuan tender dan penggunaan tandatangan jurutera palsu dalam kontrak penyeliaan pembinaan.
Awal bulan ini, pegawai keselamatan Thailand memaklumkan bahawa ujian terhadap keluli tetulang (rebar) dari tapak pembinaan mendapati sebahagian daripada logam yang digunakan adalah berkualiti rendah.
Menara itu adalah satu-satunya bangunan utama di ibu kota yang runtuh dalam gempa bumi dahsyat pada 28 Mac lalu, meragut lebih 3,700 nyawa di Thailand dan Myanmar. – AFP