Hadap banjir setiap bulan, beraya rumah kosong
- Admin UKK
- Berita
Kulai: "Bukan setahun sekali, tapi hampir setiap bulan rumah kami dinaiki air." Itu keluhan penduduk Kampung Melayu, Bukit Batu, di sini, yang mendakwa sistem perparitan rosak menjadi punca utama banjir kilat berulang sejak awal tahun ini, tanpa sebarang penyelesaian daripada pihak berkuasa.
Lebih 50 isi rumah di kampung berkenaan terpaksa hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan turun, apabila air melimpah dari longkang hingga memasuki rumah, membawa lumpur serta najis.
Penduduk, Muhammad Amirul Aiman Hassni, 26, berkata, kejadian banjir kini berlaku jauh lebih kerap dan buruk berbanding tiga tahun lalu.
"Dulu setahun sekali, dua tahun sekali banjir. Tapi sekarang hampir setiap bulan kami hadap. Bila hujan lebat dua hingga tiga jam, pasti banjir.
"Banyak barang, perabot kami terpaksa buang sebab rosak. Air banjir pula berlumpur dan bercampur najis. Bulan Ramadan lalu kami kena dua kali.
"Yang dah beli perabot raya, tikar getah, akhirnya beraya rumah kosong," katanya katanya ketika ditemui di Kampung Melayu, Bukit Batu, di sini, hari ini.
Menurutnya, masalah dipercayai berpunca daripada projek yang dijalankan di Sungai Ulu Pontian, terletak di belakang kediaman penduduk.
"Ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sudah ajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), tapi masih tiada tindakan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Pembantu Perawat Kesihatan, Nur Azimah Mohd Mahiyidin, 36, menyifatkan banjir kali ini paling buruk pernah dialami sejak menetap di kampung berkenaan sejak kecil.
"Dari Darjah Lima saya duduk sini, tak pernah seteruk ini. Tahun ini saja dah empat kali banjir. Bulan Januari, air naik paras pinggang, kami ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Lepas balik rumah dua hari, esoknya banjir lagi. Mak saya berusia 75 tahun, ada angin ahmar. Bila banjir, kami kena angkat dia ke PPS. Memang tak selesa untuk warga emas," katanya.
Sementara itu, suri rumah, Nur Farahani Mamat, 30, yang mempunyai tiga anak berusia tiga, enam dan sembilan tahun, turut meluahkan rasa tertekan menjelang Aidilfitri.
"Tilam saja yang tinggal, sofa pakai yang lama sebab dah tahu banjir akan datang. Barang banyak dah rosak. Bila hujan lebat sikit saja, hati dah tak senang.
"Air sungai belakang makin tinggi, tapi longkang depan rumah tak jalan. Ini bukan soal tak bersedia, tapi sistem perparitan memang dah tak mampu tampung.
"Kami harap pihak berwajib ambil tindakan segera," katanya.