Penduduk mula baiki kerosakan rumah, premis kurang terjejas
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA: Kerja-kerja baik pulih di beberapa premis dan kediaman yang mengalami kerosakan ringan akibat kebakaran saluran paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru kini mula dijalankan oleh penduduk.
Malah, ada pihak yang tidak mahu menunggu lama dan terus tampil membantu membaik pulih serta menyelenggara kerosakan akibat tragedi itu.
Salah satu premis yang terjejas ialah Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, yang menempatkan kira-kira 80 pelajar dan 17 tenaga pengajar.
Namun, menurut pengasasnya, Mohd Asri Yunus, kerja membaiki bumbung premis itu telah diselesaikan dengan bantuan beberapa kakitangannya.
Pada masa sama, dia bersama beberapa tenaga pengajar melaksanakan tanggungjawab sosial dengan membantu jiran tetangga dan penduduk kampung untuk membersihkan kediaman masing-masing.
Antara kerja baik pulih yang dilakukan termasuk membaiki bumbung, pendawaian elektrik serta tangki air yang rosak akibat bahang kebakaran tersebut.
“Kita dah baiki kira-kira lima rumah yang mengalami kerosakan kecil. Kalau dapat lihat di sini, kita sedang pasang semula bumbung yang tercabut.
“Yang berwarna pudar ini, kita gunakan dahulu bumbung terpakai demi keselesaan. Jika ada rezeki, Insya-Allah kita akan beli yang baharu,” katanya.
Mohd Asri memaklumkan kerja pembersihan itu turut dibantu oleh 30 pelajar yang mempunyai kemahiran vokasional.