Banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun - Datuk Bandar MBJB
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Banjir yang melanda 27 kawasan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), disifatkan paling buruk dalam tempoh 30 tahun.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, fenomena hujan lebat melebihi 150 milimiter (mm) sepanjang dua hari dan susulan air pasang setinggi 3.0 meter di sekitar Johor Bahru yang menyebabkan banjir luar jangka di beberapa kawasan.
"Sejumlah 27 lokasi di kawasan MBJB membabitkan kampung, taman perumahan dan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti di Pandan, Kangkar Tebrau, Taman Desa Mutiara, Taman Tampoi Utama, Kampung Pasir, Kampung Seri Serdang, Kampung Melayu Pandan dan Kampung Belantik.
"Kejadian banjir terburuk dalam tempoh lebih 30 tahun terutamanya di sekitar Kampung Pasir dan Taman Tampoi Indah.
"Ini kerana limpahan dari air Sungai Skudai melepasi paras bahaya pada bacaan 1.5 meter," katanya ketika berucap dalam mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB di sini semalam.
Mohd Haffiz berkata, sebagai langkah serta merta susulan bencana berkenaan, MBJB menggerakkan jabatan dan bahagian barisan hadapan antaranya Skuad Kilat, Unit Tindakan Cepat, Unit Tindakan Landskap, Taskforce Kesihatan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kemasyarakatan.
"Skuad Kilat MBJB bersama jabatan lain digerakkan bagi memantau lokasi hotspot banjir bagi melaporkan status peningkatan paras air, memastikan laluan-laluan air tersekat berjalan lancar, mengalihkan pokok tumbang dan mengalihkan kenderaan yang tersekat susulan banjir.
"Bilik Gerakan Bencana Banjir MBJB juga dibuka di Johor Bahru Integrated Operations Centre (JBIOCC) pada 21 Mac lalu bagi menerima laporan dan aduan berkaitan banjir serta menyelaras bantuan pasca banjir kepada yang terjejas.
"Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana MBJB ini menerusi talian hotline MBJB di 1300-88-0146 atau 07-2198000.
"Meskipun keadaan kini beransur pulih, Bilik Gerakan Bencana MBJB ini akan terus dibuka bagi menyelaras tugas-tugas bantuan pasca banjir serta sebagai langkah persediaan menghadapi cuaca yang tidak menentu sepanjang musim peralihan monsun timur laut ini," katanya.