Bolivia isytihar darurat akibat banjir teruk
- Admin UKK
- Berita
SUCRE: Presiden Bolivia, Luis Arce mengisytiharkan darurat negara pada Rabu susulan hujan lebat dan banjir teruk di negara itu. Setakat ini lebih 50 nyawa terkorban manakala lebih 100,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di seluruh negara.
Kesemua sembilan wilayah di Bolivia terjejas, dengan satu diisytiharkan sebagai kawasan bencana dan tiga lagi dalam keadaan kecemasan. Bolivia, yang mempunyai lebih 12 juta penduduk, biasanya mengalami musim hujan dari November hingga Mac.
Menurut Perkhidmatan Meteorologi Bolivia, beberapa amaran oren dan merah untuk limpahan sungai, yang kebiasaannya dikeluarkan pada Februari, telah dikeluarkan pada Mac tahun ini dan dilanjutkan sehingga April.
Pengisytiharan darurat membolehkan kerajaan membeli bekalan dan menggerakkan sumber dengan lebih mudah.
Ribuan anggota tentera telah dikerahkan ke seluruh negara bagi membantu mengagihkan bantuan ke kawasan yang terjejas teruk.