30 rumah terjejas ribut, satu PPS dibuka di Sekinchan
- Admin UKK
- Berita
SABAK BERNAM - Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan keluarga mangsa ribut membabitkan 30 kediaman penduduk di Taman Ria, Sekinchan di sini pada Selasa.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berkata, pihaknya mengaktifkan PPS di Dewan Seri Sekinchan pada jam 4.50 petang.
Menurut beliau, semua agensi terlibat telah diarah bersiap siaga menghadapi situasi berkenaan.
"Arahan itu termasuk menyediakan bantuan segera kepada mangsa terjejas dan melaksanakan pemantauan berterusan di lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan masing-masing.
"Patuhi pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," ujar beliau.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung insiden itu meskipun sedang melakukan lawatan kerja di sebuah kampung berhampiran.
Sementara itu, penduduk mendakwa ribut berlaku selepas dentuman guruh ketika hujan lebat dan lebih 20 buah rumah rosak termasuk bumbung diterbangkan angin serta berlubang.
Kejadian itu juga mengakibatkan beberapa rumah mengalami kebocoran dan gangguan bekalan elektrik sehingga tidak boleh didiami buat sementara waktu.
Sekinchan sebelum ini juga pernah dilanda ribut pada 6 Mac lalu yang menjejaskan lapan rumah di Parit 4 Sekinchan.