Mangsa bah di Sabah terima bantuan RM1,300
- Admin UKK
- Berita
Keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah ini dan Membakut akan menerima bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM1,300 daripada kerajaan Persekutuan dan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu, RM1,000 disumbangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala RM300 lagi dari Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
“Selain bantuan tunai, setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga menerima bantuan makanan,” katanya selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, di sini, semalam.
Lawatan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir menempatkan 147 keluarga yang terdiri daripada 412 mangsa banjir dari beberapa kampung berhampiran.
Sejak banjir melanda Jumaat lalu, sebanyak tujuh PPS dibuka di daerah ini yang memberi perlindungan kepada seramai 1,944 mangsa daripada 614 keluarga.
Ketika lawatannya, Hajiji turut menyampaikan bantuan dan meninjau keadaan mangsa banjir di PPS terbabit.