PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Dewan Negara: Hanya jalan berdaftar dalam MARRIS layak terima peruntukan penyelenggaraan

Dewan Negara: Hanya jalan berdaftar dalam MARRIS layak terima peruntukan penyelenggaraan

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Kerajaan menegaskan hanya jalan negeri yang didaftarkan dalam Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) layak menerima peruntukan penyelenggaraan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semua kerajaan negeri diwajibkan mendaftarkan jalan negeri mengikut tujuh kategori yang ditetapkan.

Kategori tersebut jelas beliau merangkumi Jalan Raya Negeri, Jalan Raya Bandaran, Jalan Kawasan Perumahan, Perbatuan Lorong Belakang, Jalan Sehala Pulau Pelancongan, Jalan Kampung dan Jalan Pertanian.

“Kerajaan negeri hanya dibenarkan menyelenggara jalan negeri yang telah didaftarkan dalam sistem Marris dan tertakluk kepada kategori serta skop penyelenggaraan yang dinyatakan dalam GP Marris 4.0 yang akan berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024,” katanya pada Sesi Pertanyaan Lisan d Dewan Negara, hari ini.

Fadillah menjawab pertanyaan Senator Tuan Che Alias Hamid yang ingin tahu mengenai penyelesaian jangka masa panjang bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang mengakibatkan kerosakan jalan-jalan pesisir pantai di Terengganu.

Beliau juga bertanya tentang status bantuan permohonan di bawah peruntukan Marris sama ada mampu menyelesaikan isu berkenaan.

Sementara itu Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan selain penyelenggaraan berkala, kerajaan negeri juga boleh menggunakan peruntukan Marris untuk membaik pulih infrastruktur jalan yang rosak akibat bencana seperti banjir.

“(Ini) berdasarkan surat pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 9 Mac 2022 yang masih berkuat kuasa.

“Penegasan ini dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri Bilangan 1/2025 bagi memastikan ketelusan dan kecekapan dalam penggunaan dana penyelenggaraan,” katanya. – TVS.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search