PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Peralihan monsun dijangka bermula minggu depan - METMalaysia

Peralihan monsun dijangka bermula minggu depan - METMalaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di ambang fasa peralihan monsun yang dijangka bermula hujung minggu depan.

Keadaan itu menyebabkan berlaku ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang terutama di Semenanjung ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu adalah perkara biasa bagi fasa peralihan monsun.

"Arah angin yang pelbagai dengan kekuatan lemah menggalakkan pembentukan awan ribut petir dan seterusnya menghasilkan hujan dan ribut petir setempat dalam tempoh singkat.

"Cuaca cerah dan panas pada sebelah pagi menyebabkan aktiviti perolakan lebih aktif dan berpotensi menghasilkan awan kumulonimbus yang lebih besar menjelang awal petang.

"Awan yang lebih besar ini berpotensi menghasilkan hujan lebat dan angin kencang yang ada kalanya disusuli hujan batu, belalai air atau darat," katanya.

 Beliau mengulas keadaan hujan pada waktu petang berserta ribut petir dan angin kencang di Semenanjung kebelakangan ini.

Berdasarkan infografik Ramalan Cuaca Signifikan (RCS), satu analisis terhadap model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan angin timuran sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga esok.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di pantai timur Semenanjung terutama di Kelantan dan Terengganu namun berdasarkan perkembangan semasa, ibu negara turut dilanda hujan lebat dan ribut.

Mohd Hisham menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan keadaan cuaca sebegini kerana selain hujan lebat dan angin kencang, sambaran kilat turut berbahaya.

Katanya, keadaan cuaca ketika ini turut berisiko mengakibatkan pokok tumbang, kerosakan pada struktur tidak kukuh dan banjir kilat.

"Orang ramai diminta peka dengan perubahan cuaca dan mengikuti METMalaysia untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi laman sesawang (www.met.gov.my).

"Maklumat juga boleh diperoleh daripada aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi (Facebook, Instagram, X, Youtube dan Telegram) atau menghubungi talian hotline 1-800-22-1638 untuk sebarang nasihat cuaca," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search