PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

PM arah NADMA perkemas penyelarasan jentera

PM arah NADMA perkemas penyelarasan jentera

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan antara jentera persekutuan dan negeri bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lancar dan berterusan.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri juga menekankan kepentingan kerjasama erat antara NADMA dan kerajaan negeri bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.

“Perdana Menteri hari ini memberi perhatian khusus kepada situasi banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Dalam taklimatnya Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri turut menepis dakwaan beberapa pihak yang masih memainkan isu terkait Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB).

Katanya, Perdana Menteri menegaskan undang-undang yang akan dibawa ke Parlimen kelak, tidak akan memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir.

“Akta itu juga tidak akan mengubah peratusan pemilikan Bumiputera atau mengubah komposisi etnik di sesuatu kawasan.

“Oleh itu, tidak timbul isu Melayu Bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar kerana matlamat utamanya adalah memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri,” katanya.

Tunku Nashrul turut menyampaikan ingatan Perdana Menteri supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak berasas.

“Mengambil contoh terbaru, terdapat hantaran di laman sosial yang mengulangi naratif fitnah usang dan jahat, bertujuan menimbulkan kegusaran awam mengenai laungan azan.

“Naratif seperti ini akan muncul setiap kali musim pilihan raya. Budaya seperti ini perlu dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search