Bomba kerah anggota tambahan
- Admin UKK
- Berita
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengerahkan anggota tambahan dari Zon Miri dan Sibu ke Bintulu bagi memperkukuhkan operasi penyelamatan mangsa banjir di kawasan yang terjejas.
Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii berkata, penambahan pegawai dan anggota bertujuan memastikan kerja menyelamat dapat dilaksanakan dengan lebih efisien serta meliputi skop yang lebih luas.
“Pasukan bantuan ini telah tiba di Bintulu sejak semalam untuk membantu pasukan sedia ada dalam operasi banjir yang sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran Facebook JBPM Sarawak, kelmarin.
Tiong berkata, dengan pengukuhan pasukan penyelamat, jumlah keseluruhan anggota bertugas di kawasan banjir di Bintulu kini berjumlah 72 orang.
“Selain kekuatan anggota, pelbagai aset logistik seperti bot kecil, jentera, lori dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut digerakkan bagi memastikan operasi penyelamatan berjalan lancar. Keseluruhannya, sebanyak 23 aset logistik telah dikerahkan untuk menyokong operasi ini,” katanya. - Bernama