Dana segera lebih RM25J baiki infrastruktur terjejas bah
- Admin UKK
- Berita
Ipoh: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera lebih RM25 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata, bantuan kerajaan Persekutuan kepada negeri yang dilanda bencana, tidak mengikut musim.
“Kalau banjir di Perak kita bagi satu keluarga RM1,000. Di Sabah, Sarawak pun saya ada minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) segera luluskan RM1,000 ringgit bagi setiap keluarga mangsa banjir, kebakaran dan tanah runtuh.
“Kemudian kita siapkan beberapa puluh juta, katanya perlu RM20 juta atau RM25 juta segera untuk perbaiki kerosakan besar. Kita luluskan. Ini pandangan yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim, tetapi ikut tanggungjawab. Jadi, kita lakukan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-muttaqin, Taman Meru di sini semalam, seperti laporan BERNAMA.
Sementara itu di Miri, kerajaan Sarawak meluluskan dana tambahan berjumlah RM10 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), susulan banjir luar biasa yang melanda negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata JPBN akan mengagihkan bantuan di semua kawasan terjejas banjir.
“Banyak kawasan di seluruh Sarawak kini terjejas banjir berikutan cuaca tidak menentu,” katanya.
Abang Johari berkata, JPBN mempunyai peruntukan mencukupi bagi melaksanakan misi bantuan, namun perlu ditambah untuk meningkatkan lagi keupayaan menangani bencana itu.