JPS mulakan kerja pulih tebing Sungai Kelantan
- Admin UKK
- Berita
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memulakan kerja darurat di tebing Sungai Kelantan yang runtuh berhampiran sebuah kondominium dan hotel di Jalan Post Office Lama, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, berkata beliau sudah menghubungi Pengarah JPS Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria memaklumkan kebimbangan orang ramai, terutama penghuni kondominium Pelangi Mall berhubung insiden itu.
“Lokasi kejadian amat hampir dengan bangunan Pelangi Mall yang menggusarkan penduduk dan mereka tertanya-tanya apa langkah seterusnya.
“Saya sudah bercakap dengan Pengarah JPS pagi ini (semalam) dan beliau sahkan satu kerja pelaksanaan kerja darurat untuk memperbaiki atau menahan tebing runtuhan menjadi lebih teruk akan dilaksanakan hari ini mengikut tatakelola.
“Diharapkan kerja darurat itu akan siap secepat mungkin bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai, terutama 1,600
penghuni di kondominium Pelangi Mall yang setiap hari hidup dalam kebimbangan sejak hari pertama kejadian runtuhan tebing itu,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini semalam.
Media baru-baru ini melaporkan satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan yang menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.
Sementara itu, Penolong Pengarah Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu, Muhammad Faizuddin Muhammad Fadzin, berkata pihaknya akan mengeluarkan notis mengosongkan premis perniagaan di sekitar kawasan terbabit dalam masa terdekat.
Beliau berkata, notis pengosongan premis perniagaan akan diserahkan kepada kira-kira 40 peniaga berhampiran lokasi itu bagi tujuan keselamatan.
Selain itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pelangi Mall, Foo Chek Yee, berharap kerja pembaikan tebing runtuh itu dapat dilakukan segera kerana hampir 1,600 penghuni kondominium terbabit bimbang kejadian yang berlaku sebelum ini.
“Kondominium ini sudah beroperasi sejak 15 tahun lalu dan ini kali pertama kejadian runtuhan tebing berlaku, sedikit sebanyak merisaukan kami,” katanya.