Kumpul maklumat bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
Kerajaan negeri dalam proses meneliti dan mengumpul maklumat untuk mengenal pasti bantuan sesuai kepada mangsa banjir.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kemusnahan yang teruk memerlukan kos besar justeru perlu ada kerjasama kerajaan persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Katanya, bagaimana pun pihaknya dalam usaha untuk mengatasi masalah itu memandangkan Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir dengan jangkaan gelombang seterusnya dalam masa terdekat.
“Kita mengharapkan semoga gelombang seterusnya tidak seteruk yang lalu supaya tiada lagi kemusnahan harta benda rakyat.
“Kerajaan negeri sebelum ini sudah memperuntukkan sumbangan khas bantuan banjir dan ia akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat yang terjejas,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula esok hingga 19 Disember, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kita harapkan semoga gelombang seterusnya tidak seteruk yang lalu” Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan