433 masih berlindung di sembilan PPS di empat negeri
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Seramai 433 mangsa banjir masih berlindung di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri terjejas setakat jam 8 pagi semalam.
Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan keadaan banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa di daerah Kemaman berkurang daripada 91 kelmarin kepada kepada 80 orang pagi semalam di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Kertih dan Balai Raya Padang Kemunting.
Sementara itu di PERAK, Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi semalam kekal 220 orang di dua PPS di daerah Perak Tengah dan Manjung.
Kenyataan itu memaklumkan 34 berlindung di PPS SK Teluk Kepayang di daerah Perak Tengah manakala 186 orang di SK Beruas di daerah Manjung.
Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan A18 Jalan Bota Kiri-Teluk Sena di daerah Perak Tengah dan laluan A175 Jalan Selat-Pulau Pebayan ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air.
Jumlah mangsa banjir di Segamat, JOHOR pula kekal 85 orang di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.
Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat serta satu lagi Sungai Paya Dato, Mersing.
“Daerah Muar, Mersing, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan mendung manakala Johor Bahru, Segamat, Kluang dan Tangkak cerah,” katanya dalam satu kenyataan.
Di PAHANG, mangsa banjir pagi semalam meningkat 48 orang berbanding 32 orang malam kelmarin dan mereka ditempatkan di empat PPS.
Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 47 orang berada di tiga PPS di Bera manakala seorang lagi di satu PPS di Temerloh.