PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kerosakan sektor agromakanan dianggar RM177J akibat banjir

Kerosakan sektor agromakanan dianggar RM177J akibat banjir

Sebanyak RM177 juta anggaran nilai kerosakan dalam sektor agromakanan yang direkodkan akibat banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) 2024 membabitkan 15,456 petani di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kira-kira 28,000 hektar kawasan terjejas dengan majoriti membabitkan sawah padi di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, 1,153 kumpulan sasar yang terjejas adalah petani selain padi, dengan 502.96 hektar terjejas dan RM17.25 juta nilai kerugian dicatatkan.

“Paling banyak adalah sawah padi di Kelantan, Kedah dan sedikit di Terengganu, selain sektor perikanan, pertanian dan tanaman sayuran,” katanya pada sidang media, di lobi Wisma Tani, di sini, semalam.

Terdahulu, Mohamad menyempurnakan majlis Flag-off Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan 20 warga kerja skuad itu bergerak ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang membantu mangsa banjir.

Pada masa sama, Mohamad berkata, 13,674 petani terjejas adalah pesawah; 599 (tanaman selain padi); masing-masing 250 bagi perikanan dan ternakan; 35 nelayan dan 19 usahawan tani.

Kedah paling terjejas

Beliau berkata, petani yang paling terjejas adalah di Kedah dengan 7,422 orang membabitkan 14,613 hektar dan RM97.76 juta nilai kerugian.

Katanya, ia diikuti 3,426 petani di Kelantan dengan nilai kerugian RM33.37 juta dan 2,107 petani di Terengganu membabitkan nilai kerugian RM13.43 juta.

Mohamad berkata, KPKM juga menyediakan mekanisme bantuan iaitu Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi pesawah padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi pengusaha tanaman selain padi.

“Selain itu, KPKM juga memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi yang mula dilaksanakan pada 13 September lalu bagi melindungi tanaman padi daripada pelbagai risiko bencana.

“Kadar pemberian bantuan berdasarkan usia tanaman padi iaitu RM1,800 sehektar bagi usia padi melebihi 71 hingga 120 hari, manakala RM876 sehektar bagi peringkat tanaman satu hingga 70 hari,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search