Wanita hidap gout berdiri dalam air 6 jam sebelum diselamatkan
- Admin UKK
- Berita
Seorang wanita yang menghidap penyakit gout terpaksa berdiri dalam air selama enam jam sebelum diselamatkan petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan yang membawanya ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, di sini.
Mazlina Mohamed, 45, berkata rumahnya dinaiki air separas hampir satu meter dari jam 7 pagi dan diselamatkan pada 3 petang kelmarin.
“Saya terpaksa berdiri dan menahan kesakitan dalam air memandangkan kami sekeluarga baru berpindah di rumah sewa itu dua bulan lepas dan belum ada sofa atau perabot.
“Ini adalah pengalaman kali pertama kami berpindah ke PPS kerana banjir tetapi kami tetap menyewa di situ biarpun tahu kawasannya banjir memandangkan hanya itu sahaja pilihan
yang ada, malah sewa adalah murah RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Beris Panchor, di sini semalam.
Mazlina bersama suami, Mohd Riduan Harun, 45, dan anak mereka, Aliya Maisarah, 19, berpindah ke PPS itu selepas mendapat arahan daripada pihak berkuasa dan diberi rawatan oleh pusat kesihatan daerah.
Sementara itu, Yasmin Syafiqah Anuar, 29, menceritakan pengalaman pertama mengalami banjir dan berpindah ke PPS selepas tidak lena tidur apabila kawasan tali air dan sawah padi mula dipenuhi air.
“Saya baru berpindah di perumahan Kampung Budi sejak empat
bulan lalu dan tidak tahu di situ kawasan banjir, jadi saya mengemas barang dengan mengangkatnya ke tempat lebih tinggi.
“Pada jam 8 pagi, setelah air naik separas hampir satu meter, kami sekeluarga diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa dan dibawa petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke PPS ini,” katanya yang berpindah ke PPS bersama suami, Mohd Junaidi Mohd Ikbal, 33, yang bekerja dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kota Bharu bersama tiga anak mereka.
11 keluarga dipindahkan
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jajahan Bachok,
Syamsul Abu Bakar, berkata seramai 40 mangsa banjir membabitkan 11 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan kelmarin.
“Penghuni PPS diberi kemudahan dan kelengkapan yang cukup antaranya collapsible tent (khemah biru) kepada satu keluarga, bagaimanapun jika ahli keluarganya ramai, kami menyediakan kemudahan tambahan bagi memberi keselesaan.
“Selain itu, sebaik sahaja mangsa berpindah di PPS, mereka diberikan makanan retort iaitu
makanan segera sedia yang telah disterilkan, manakala kami bergotong-royong memasak nasi di tempat khas untuk memberikan makanan tiga kali sehari kepada penghuni,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Jajahan Bachok berkata, menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diketuai Pegawai JKM Jajahan Bachok, Zulfikri Abd Wahab, mangsa turut menerima bantuan seperti biskut, air kotak, selimut, tuala dan kit kebersihan.