PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

50 tan sayuran di Johor rosak ditenggelami banjir

50 tan sayuran di Johor rosak ditenggelami banjir

JOHOR BAHRU: Kira-kira 50 tan sayuran rosak apabila kebun dan ladang sayur yang terletak di utara Johor, mula ditenggelami banjir susulan musim tengkujuh yang sudah bermula.

Setiausaha Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Tan Chee Kiong, berkata hujan lebat sejak Jumaat lalu menyebabkan lebih 20 hektar kebun serta ladang sayuran di Tangkak dan Muar, ditenggelami banjir.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak kebun dan ladang sayuran yang berada di kawasan rendah di Johor bakal ditenggelami banjir jika hujan lebat berterusan pada minggu ini.

"Hujan lebat dua hari yang melanda Tangkak dan Muar Jumaat dan Sabtu lalu menyebabkan lebih 20 hektar kebun sayuran di utara Johor ditenggelami banjir.

"Ia menyebabkan kira-kira 50 tan sayuran seperti sawi, bayam dan kangkung rosak akibat ditenggelami banjir.

Bagaimanapun, bekalan sayuran berdaun di negeri ini dan sekitar tidak terlalu terjejas kerana bekalan masih boleh didapati dari daerah dan negeri berdekatan," katanya ketika dihubungi.

Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini dilaporkan bermula pada 5 November lalu dan berterusan sehingga Mac 2025.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dilaporkan berkata mengikut ramalan pihaknya, MTL kali ini akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.

Fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini dilaporkan mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Pada Januari dan Februari pula, kejadian hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, Chee Kiong berkata, tempoh kira-kira tiga minggu hingga sebulan diperlukan bagi memastikan kebun serta ladang sayuran terjejas dapat memulakan proses penanaman sayuran semula.

Katanya, ini berikutan proses semaian semula perlu dibuat susulan sayuran yang ditanam rosak.

"Jika tanah terlalu berair pun tidak sesuai untuk proses semaian semula, mahu tak mahu pengusaha kena menunggu ia kering sedikit sebelum memulakan proses semaian semula sayuran.

"Jika keadaan hujan lebat berterusan, kami bimbang kebun dan ladang sayuran di kawasan rendah terutama Kota Tinggi dan Kluang, turut berpotensi ditenggelami banjir," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search