Pamer pelan risiko, bahaya tanah runtuh perlu ambil kira kejatuhan harga tanah – EXCO Selangor
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan tindakan mempamerkan pelan risiko dan bahaya tanah runtuh di sesuatu lokaliti kepada awam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim, bagaimanapun berkata pihaknya perlu mengambil kira faktor kejatuhan harga tanah jika dipamerkan secara tidak sewajarnya yang akan menyebabkan spekulasi harga tanah.
"Namun, pada masa sama tidak boleh mengabaikan keperluan memaklumkan kepada orang ramai kemungkinan tempat itu adalah bahaya demi menjaga kemaslahatan penduduk.
"Dua faktor ini sedang dipertimbangkan untuk dilihat sebelum membuat keputusan sama ada perlu mempamerkan secara menyeluruh atau berperingkat.
"Kita sudah berbincang, namun belum membuat keputusan bagaimana cara mempamerkannya kepada orang awam," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dibangkitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) sama ada kerajaan negeri bersedia untuk mempamerkan pelan itu.
Izham berkata, pihaknya juga sedang meneliti mewujudkan badan khusus mengabungkan semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Galian bagi melihat secara terperinci dalam pengurusan kawasan berisiko tanah runtuh secara bersama.
"Tindakan meletak sistem amaran awal dianggap tidak praktikal bagi semua kawasan ini kerana banyak negara sudah tidak mengamalkannya.
"Fenomena aliran puing atau keruntuhan berlaku sekali-sekala, tidak ada tanda-tanda dan meletakkan alat sensitif serta mahal adalah tidak begitu praktikal kecuali lokasi itu ada tanda-tanda (runtuhan)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang permohonan pembangunan bagi kelulusan kebenaran merancang membabitkan kawasan tinggi dan bercerun (Kelas 3 dan 4) perlu melalui Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS) yang dipengerusikan oleh PLAN Malaysia @Selangor.