PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kelantan tambah PPS, persediaan hadapi banjir

Kelantan tambah PPS, persediaan hadapi banjir

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menambah bilangan pusat pemindahan banjir sementara (PPS) sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir besar pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim berkata, semalam semua agensi yang terbabit seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah dipanggil untuk diberikan sesi taklimat sebagai persediaan banjir.

Katanya, pada bulan Ogos lalu, pihaknya juga sudah mengadakan latihan persiapan dengan semua agensi yang terbabit termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

“Kelantan sentiasa mengambil langkah untuk bersedia bagi situasi terburuk dalam membuat persiapan menghadapi bencana banjir.

“Tambahan pula, tahun ini tular jangkaan banjir besar berlaku berdasarkan ramalan orang-orang lama iaitu setiap 10 tahun sekali.

“Bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau ke arah situasi terburuk, kita sudah melakukan persiapan lebih awal, ”katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan MABNA, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, fasa peralihan monsun dijangka bermula 24 September ini dan berterusan sehingga November depan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 17 Mei 2024.

“Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search