Siklon Tropika Trami: Malaysia hulur bantuan kemanusiaan dan bencana kepada Filipina
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Malaysia menghantar aset Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu Helikopter EC725 bersama 16 kru ke Filipina untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana selepas negara itu dilanda siklon tropika Trami, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dan tiba Pangkalan Udara Villamor di Manila pada 2.48 petang tadi dengan tempoh penugasan selama lapan hari iaitu hingga 2 Nov depan.
Ahmad Zahid berkata misi itu digerakkan selepas Filipina pada Khamis mengemukakan nota diplomatik kepada Kedutaan Malaysia di Manila untuk bantuan kemanusiaan dan bencana dalam bentuk aset udara serta logistik bagi penghantaran barangan bantuan ke kawasan terjejas.
“Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara bersama-sama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Angkatan Tentera Malaysia dan Malawakil Malaysia di Filipina telah melaksanakan koordinasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana.
Laporan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN merekodkan tujuh kematian manakala sejumlah 197,000 mangsa dipindahkan dan kira-kira 2.8 juta penduduk terjejas akibat bencana itu.
Semalam, media antarabangsa melaporkan angka korban akibat Trami yang membadai Filipina minggu ini meningkat kepada 46 orang dan sekurang-kurangnya 20 lagi masih hilang.
Trami, taufan ke-11 yang melanda Filipina tahun ini, melintasi Luzon dan mengakibatkan kemusnahan besar dengan bencana banjir serta tanah runtuh di Bicol dan Calabarzon.