Paras air di tahap amaran
- Admin UKK
- Berita
Kapasiti semasa takungan air di Empangan Timah Tasoh, Beseri berada sekitar 38.5 peratus dengan jangkaan mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja sekiranya kemarau di negeri ini berterusan.
Bacaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis merekodkan paras air di empangan itu berada pada paras 26.90 meter (m) iaitu berada pada paras amaran setakat kelmarin.
Exco Pertanian, Perladangan dan Makanan negeri, Razali Saad berkata, kerajaan negeri mengambil maklum keresahan dialami seramai 1,221 petani berhubung masalah tanaman padi mereka yang rosak dan tidak menjadi pada waktu ini.
“Ini berlaku kepada terutamanya petani yang berada di luar kawasan pengairan Mada yang meliputi kawasan Titi Tinggi, Beseri, Paya dan Bintong.
“Hal ini disebabkan sumber air bagi tujuan pengairan pertanian di Empangan Timah Tasoh tidak dapat dibekalkan ke kawasan itu disebabkan penurunan paras air akibat cuaca kering sejak beberapa minggu lalu.
“Jika dilihat Empangan Timah Tasoh dengan keluasan 13.3 kilometer persegi dengan aras takungan biasa iaitu 29.1 meter mampu menampung takungan sehingga 40 juta meter kubik air,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 33.3 juta meter kubik air sahaja dapat digunakan bagi tujuan domestik iaitu secara puratanya adalah 75,000 kubik meter sehari.
“Ini diikuti dengan 55 juta meter kubik setahun bagi pengairan kawasan pertanian seluas 3,075 hektar manakala selebihnya adalah takungan mati.
“Selain itu, empangan ini juga berfungsi untuk mengawal kejadian banjir pada musim hujan dan berdasarkan ‘trend’ taburan hujan yang rendah dan cuaca kering di kawasan sekitar empangan sejak beberapa minggu lalu,” katanya.
Katanya, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia negeri, hujan dijangka lebih kerap berlaku semasa musim peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut antara Ogos hingga September ini.
“Sehubungan itu, paras air di Empangan Timah Tasoh dijangka akan kembali normal sekiranya hujan lebih kerap dalam tempoh itu.
“Bagaimanapun, sekiranya ‘trend’ cuaca kering ini berpanjangan, kita (kerajaan negeri) bersedia dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani situasi ini.
“Permohonan bagi operasi pembenihan awan sudah dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan sedang menunggu kelulusan serta penyelarasan daripada pihak terbabit,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri melalui Exco Hal Ehwal Agama akan mengadakan solat sunat Istisqa untuk memohon hujan di Empangan Timah Tasoh.
“Jika dilihat Empangan Timah Tasoh dengan keluasan 13.3 kilometer persegi dengan aras takungan biasa iaitu 29.1 meter mampu menampung takungan sehingga 40 juta meter kubik air”