Laksana OPA di Kedah dan Perak
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut, bermula hari ini.
Beliau berkata, operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.
Merujuk kepada data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada 26 Julai lalu (Jumaat), Ahmad Zahid berkata, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus manakala Empangan Bukit Merah, 15.25 peratus.
“Usaha ini satu daripada usaha kerajaan menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga penghujung September 2024,” katanya pada kenyataan di sini, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, operasi itu dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (Iada) Kerian serta Lembaga Sumber Air Kedah (LSANK).
Pelaksanaan menerusi penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ahmad Zahid berkata, bekalan air dari Empangan Muda dialirkan ke Empangan Pedu, Kedah bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi.
Beliau berkata, tanaman padi Kawasan Muda adalah jelapang padi terbesar di Malaysia dengan keluasan 100,641.19 hektar terdiri daripada 81,606.66 hektar di Kedah dan 19,034.53 hektar di Perlis.
Sementara kawasan tanaman padi di Kerian, Perak yang menerima sumber air dari Empangan Bukit Merah pula adalah jelapang padi ketiga terbesar negara dengan keluasan 20,326 hektar.
“Kekurangan turunan hujan akan mengakibatkan takungan simpanan akan terus menyusut seterusnya tidak dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Negeri
“Ini satu daripada usaha kerajaan tangani impak fenomena cuaca panas Ahmad Zahid