Cuaca kering: SPAN diarah ambil langkah mitigasi - Akmal
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diarah mengambil langkah mitigasi sekiranya keadaan cuaca panas dan kering berlarutan sehingga menjejaskan kapasiti bekalan air di empangan negara ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, antara langkah sesuai termasuk penyusunan semula pengoperasian bekalan air supaya agihan dapat dibekalkan kepada kawasan terjejas, selain Operasi Pembenihan Awan (OPA).
Beliau berkata, kaedah OPA bagaimanapun bergantung situasi dan perbincangan dengan kementerian lain.
"SPAN akan memantau keadaan air dari semasa ke semasa... bila berlaku jangkaan dari segi musim kemarau dan sebagainya, SPAN akan berurusan dengan pihak operator air bagi memastikan pengurusan air lebih efisyen selain beberapa langkah mitigasi yang perlu diambil," katanya selepas melawat Pasar Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan OPA di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bermula esok.
Beliau dilaporkan berkata, operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Muda di Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.
Ia satu daripada usaha kerajaan menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024
Merujuk data SPAN kelmarin, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus, manakala Empangan Bukit Merah adalah 15.25 peratus.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, syarikat operator air yang mengambil beberapa langkah mitigasi antaranya memperingatkan orang ramai berkaitan penggunaan air lebih cekap dalam tempoh beberapa minggu ini.
"Dalam keadaan kita menghadapi pemanasan global dan sebagainya, ini adalah kesan yang memang semakin mencabar kepada sektor air terutamanya bila keadaan bertambah ekstrem yang berpanjangan.
"SPAN akan sentiasa berhubung dengan pihak operator air untuk melihat langkah-langkah mitigasi dan terbuka untuk berbincang dengan pihak berkaitan bagi mengatasi isu ini," katanya.